LAHAD DATU: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada pihak polis gagal apabila dia diberkas bersama dadah disyaki syabu seberat 51.55 gram dalam Operasi Tapis di Jalan Lahad Datu–Sandakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, pergelutan berlaku sebelum lelaki tempatan berusia 25 tahun berkenaan diberkas pihak polis.
“Pemeriksaan terhadap beg silang lelaki itu menemukan tujuh paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM3,000.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, gunting dan pemetik api serta menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.
“Kita turut mengenal pasti sumber bekalan dadah dan rangkaian pengedaran yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
