QUEZON CITY: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Filipina selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menjual dan mengedar produk perencah makanan tiruan bernilai lebih ₱1.3 juta dalam satu operasi di Barangay Baesa, di sini, 12 November lalu.
Operasi dijalankan anggota Unit Lapangan Wilayah Ibu Negara, Kumpulan Siasatan dan Pengesanan Jenayah (CIDG) Polis Kebangsaan Filipina (PNP) dengan kerjasama wakil Nestlé Philippines.
Ketua PNP, Jeneral Polis Jose Melencio C. Nartatez Jr. berkata, operasi itu membawa kepada penahanan suspek serta rampasan 350 kotak produk perencah makanan yang disyaki tiruan dan melanggar hak cap dagangan.
Menurutnya, nilai keseluruhan produk yang dirampas dianggarkan berjumlah ₱1,340,160 atau lebih ₱1.34 juta.
Suspek dipercayai ditangkap ketika menjual dan memperdagangkan produk berkenaan tanpa kebenaran pemilik sah cap dagangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 155 dibaca bersama Seksyen 170 Akta Republik 8293 atau Kod Harta Intelek Filipina, yang memperuntukkan perlindungan terhadap hak eksklusif pemilik cap dagangan berdaftar.
Nartatez menegaskan PNP akan terus mengambil tindakan terhadap kegiatan pengedaran barangan tiruan bagi melindungi pengguna serta mempertahankan hak perniagaan yang sah.
“Produk tiruan menjejaskan perniagaan yang sah dan menghakis keyakinan pengguna. Kami akan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan pengguna perlu dilindungi daripada produk palsu, manakala cap dagangan berdaftar milik syarikat lain tidak boleh digunakan tanpa kebenaran untuk mengaut keuntungan melalui penipuan.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada Agenda Fokus PNP, khususnya Pengurusan Operasi Polis Dipertingkatkan (EMPO), menerusi tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pelanggaran harta intelek dan pengedaran barangan tiruan.-DAKWAT RAKYAT POST
