KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki 38 katrij mengandungi cecair ganja dalam serbuan di kawasan parkir berhampiran sebuah kedai di Jalan Tun Jugah, di sini, 13 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching kira-kira jam 3.05 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan 38 katrij yang disyaki mengandungi dadah jenis cecair ganja dengan anggaran isipadu keseluruhan 95 mililiter.
“Nilai pasaran dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM17,100.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek kini direman selama lima hari bermula 15 hingga 19 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Dalam pada itu, Alexson berkata, kejayaan tangkapan berkenaan adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.-DAKWAT RAKYAT POST
