TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan tembakau dipercayai diseludup dengan nilai keseluruhan RM1,103,104 termasuk sebuah kenderaan dalam operasi di Jalan Tawau Lama, berhampiran Kampung Icebox Titingan, awal pagi semalam.
Rampasan menerusi Op Taring Alpha 1 itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai membawa muatan berkenaan menggunakan van Toyota Hiace.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, operasi kira-kira jam 1 pagi itu dilaksanakan Tiger Platun Kompeni A, Batalion 14 PGA Tawau dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau hasil maklumat orang awam.
Katanya, pemeriksaan terhadap van berkenaan menemukan 276,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM540,000 serta 216,000 batang rokok kretek bernilai RM422,400.
“Pasukan turut merampas 880 bungkusan kecil tembakau seberat kira-kira 35.2 kilogram dengan nilai RM704, selain van Toyota Hiace yang dianggarkan bernilai RM140,000.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM1,103,104,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala kenderaan yang digunakan juga tidak dikehendaki polis.
Suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Nor Omar berkata, PGA akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan tembakau di Sabah serta menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan kepada pihak polis. – DAKWAT RAKYAT POST
