Screenshot
KOTA KINABALU: Polis menahan tujuh lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang maut ditikam di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, Sabtu lalu.
Kesemua suspek berusia antara 18 hingga lingkungan 30-an itu ditahan menerusi beberapa operasi tangkapan yang dijalankan di sekitar Manggatal dan Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan itu dibuat susulan siasatan lanjut berhubung kejadian yang berlaku pada awal pagi 14 November lalu.
Katanya, polis masih giat mengesan suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Setakat ini, tujuh lelaki warga tempatan sudah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Bagaimanapun, usaha mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrudin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat individu disyaki terbabit dalam kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 31 tahun maut selepas ditikam ketika dipercayai cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa yang mengalami kecederaan akibat tikaman dibawa abangnya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 6 pagi.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan seorang penjual makanan sebelum mangsa cuba meleraikan pertelingkahan berkenaan, namun akhirnya menjadi korban dalam kejadian itu.-DAKWAT RAKYAT POST.
