BERA: Seorang wanita mengalami kecederaan lebam pada leher selepas menjadi mangsa ragut ketika berada di tepi Jalan Pasar, Triang, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang, 15 November lalu, mangsa yang baru selesai membeli makanan di sebuah gerai tepi jalan didatangi seorang suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna gelap.
Suspek kemudian bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee bin Nazir berkata, mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian leher akibat kejadian itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Bera.
Menurutnya, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan pesalah juga boleh dikenakan denda atau sebatan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Afifi bin Roslan menerusi talian 09-2508222 atau dengan mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran.
Zulkiflee turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, khususnya ketika berada di kawasan tumpuan awam.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada memakai atau mempamerkan barang kemas serta barangan berharga secara berlebihan bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah.
Beliau menegaskan pihak polis memandang serius kejadian itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan serta memberkas suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.-DAKWAT RAKYAT POST
