KULAI: Hubungan yang terjalin menerusi media sosial membawa kepada penahanan seorang wanita berstatus isteri orang bersama seorang lelaki bujang dalam operasi penguatkuasaan khalwat di sebuah rumah kedai di Taman Scientex, Senai, di sini.
Pasangan berkenaan ditahan kira-kira jam 11.15 malam selepas pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan pemeriksaan susulan aduan awam.
Pemeriksaan di sebuah bilik sewa di tingkat atas bangunan itu menemukan wanita berusia lingkungan 40-an bersama lelaki berusia lingkungan 30-an.
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit berstatus bujang dan bekerja di Senai, manakala wanita berkenaan masih mempunyai ikatan perkahwinan serta turut bekerja di kawasan sama.
Menurut keterangan yang diberikan, kedua-duanya mula berkenalan melalui media sosial lebih setahun lalu sebelum wanita itu datang ke Senai untuk mencari pekerjaan.
Wanita berkenaan dipercayai kemudian tinggal bersama lelaki terbabit selama kira-kira sebulan di bilik sewa berkenaan atas alasan mahu mengurangkan kos tempat tinggal.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa dia sedang berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian dengan suaminya yang berada di sebuah negeri di Pantai Timur bersama anak-anak mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua individu mengakui mereka bukan pasangan suami isteri.
Susulan pemeriksaan itu, kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah bagi tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
