KUALA LUMPUR,: Tiga lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam cubaan mencuri kabel di sebuah lubang utiliti di Jalan Seri Sentosa, Taman Seri Sentosa, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook berkata, penahanan itu dilakukan susulan maklumat orang awam serta penularan video di platform Threads yang memaparkan seorang lelaki ditahan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, sepasukan anggota Task Force Balai Polis Petaling dengan bantuan anggota FRM dan MPV Petaling menjalankan pemeriksaan di lokasi kira-kira jam 4 petang, 16 November lalu.
Hasil pemeriksaan itu, polis menemukan dua lelaki di dalam lubang utiliti sebelum menahan mereka untuk membantu siasatan.
Polis turut merampas lapan barangan yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan berkenaan, termasuk alat pemotong kabel dan alat penarik kabel berkuasa elektrik.
Dalam pemeriksaan susulan kira-kira jam 7.30 malam pada hari sama, polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Telekom Malaysia (TM) mengeluarkan air dari lubang utiliti terbabit sebelum menemukan seorang lagi lelaki di dalamnya.
Lelaki berkenaan turut ditahan menjadikan keseluruhan tiga suspek yang diberkas dalam operasi tersebut.
Kesemua suspek bersama barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Petaling untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan melakukan kesalahan mencuri.
Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, mengesahkan pemilikan kabel serta menentukan sama ada kejadian itu menyebabkan kerosakan atau kerugian.
Polis Daerah Brickfields turut menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi IPD Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
