MIRI: Polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 23 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan di kawasan Taman Jelita, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, penahanan itu dilakukan susulan penularan rakaman video berdurasi kira-kira 57 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di lokasi berkenaan.
Menurutnya, pihak polis menerima rakaman video daripada orang awam pada 16 November lalu kira-kira jam 12.55 tengah hari sebelum satu laporan polis dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Miri pada jam 6.38 petang hari sama.
Hasil tindakan mengesan individu terbabit, polis berjaya menahan keempat-empat suspek di sekitar bandar Miri kira-kira jam 6.30 petang pada hari sama.
Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua suspek ketika mereka sedang minum minuman keras bersama rakan-rakan di kawasan Taman Tunku, Miri.
Susulan pertengkaran itu, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai pergi ke Taman Jelita sebelum terlibat dalam pergaduhan secara fizikal.
Dua lagi suspek turut berada di lokasi kejadian, dengan seorang dipercayai bertindak sebagai pengadil manakala seorang lagi hanya memerhati pergaduhan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Polis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Jugol Anak Berindan menerusi talian 011-10528708.
Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-432533.-DAKWAT RAKYAT POST
