BATU PAHAT: Dua lelaki maut selepas kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jaya Diri, Rengit, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat bin Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.20 malam, 17 November lalu.
Menurutnya, siasatan awal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah Proton Wira dalam perjalanan dari arah Kampung Sungai Dulang Darat menuju ke Pekan Rengit.
Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Saga dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sebelum memasuki laluan Proton Wira dan bertembung dengan kenderaan berkenaan.
Akibat perlanggaran itu, Proton Saga terbabas lalu melanggar tiang elektrik di tepi jalan sebelum terbakar.
Dua lelaki yang berada di dalam Proton Saga, masing-masing pemandunya, Kamal Nur Hafizi Maskat, 22, dan penumpang berusia 17 tahun, Mohammed Erfan, pemegang kad UNHCR, rentung dalam kebakaran dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu Proton Wira, lelaki tempatan berusia 37 tahun bersama ibunya berusia 60 tahun turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.-DAKWAT RAKYAT POST
