Editorial
KOTA KINABALU: Seramai 12 lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian (online scam) yang beroperasi dari sebuah banglo mewah di kawasan Damai, di sini, pada 17 November lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi menerusi Ops Serkap itu, kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan hasil risikan selama seminggu oleh JIM Sabah.
Operasi berkenaan membabitkan seramai 42 pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek dipercayai berada di negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, dengan 10 daripadanya disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah.
Seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa, manakala seorang lagi disyaki melanggar Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Antara barangan yang dirampas termasuk 153 telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, 11 komputer, sebuah unit CPU, sebuah mesin pencetak, 13 router, 22 kad SIM serta wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM184.15.
Turut dirampas tujuh pengecas USB, tujuh unit bekalan kuasa dan tiga pasport Republik Rakyat China.
Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan berasingan, JIM Keningau turut menahan dua lelaki warga China di kawasan Tamu Ground, Keningau pada 5 November lalu kerana disyaki melanggar Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka merupakan pemegang Pas Kerja sebagai jurutera pembinaan (Construction Engineer), namun dipercayai menyalahgunakan pas berkenaan dengan menjalankan aktiviti perniagaan menjual barangan di tamu berkenaan.
JIM Sabah menegaskan pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk tinggal lebih masa, berada di negara ini tanpa pas atau permit sah serta penyalahgunaan kemudahan pas.
Jabatan itu turut menggesa masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu membendung aktiviti yang menyalahi undang-undang.-DAKWAT RAKYAT POST.
