BATU PAHAT: Dua beranak ditemukan rentung di dalam bilik utama rumah mereka yang musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran di Kampung Parit Raja, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Jamilah Bebe Abdul Rahman dan anak lelakinya, Abdul Rahim Abdul Muthaliff, yang dipercayai gagal menyelamatkan diri ketika api merebak.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.40 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam menerima panggilan kecemasan pada jam 2.50 pagi.
Komander Operasi Kanan BBP Ayer Hitam, Mohamad Shamim Mohamed Salikin berkata, seramai 16 anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat dan pemadaman.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 12 x 21 meter sedang terbakar.
Operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan aliran pemadaman dengan bekalan air daripada tangki pam jentera BBP Ayer Hitam dan BBP Penggaram.
Kedua-dua mangsa kemudian ditemukan dalam keadaan rentung di bilik utama rumah berkenaan.
Mohamad Shamim berkata, selepas operasi pemadaman selesai sepenuhnya dan lokasi disahkan selamat, kes diserahkan kepada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Unit berkenaan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta menilai jumlah kerugian.-DRP
