MIRI: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang Jalan Bulatan, di sini, pada 18 November lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Miri kira-kira jam 8.12 malam akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, kemalangan kira-kira jam 7.45 malam itu membabitkan sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dan motosikal ditunggang mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai hendak memasuki simpang Jalan Bulatan itu telah melanggar motosikal yang bergerak lurus dari arah bertentangan.
Motosikal berkenaan ketika itu dalam perjalanan dari arah Taman Bulatan menuju ke Bulatan GK.
Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizal bin Moktar menerusi talian 012-818 6509 atau 085-430479, atau hadir ke balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-DRP
