TAWAU: Dua beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) autisme maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Ria, Lorong 11, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.13 pagi itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 10 tahun (perempuan) dan 13 tahun (lelaki) ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 6.22 pagi.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berukuran 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan kira-kira 70 peratus.
“Seramai enam mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri dan keluar sendiri dari rumah sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Bagaimanapun, dua lagi mangsa masih terperangkap dan usaha menyelamat dilakukan anggota bomba sebelum kedua-duanya ditemukan di bilik tingkat atas dalam keadaan rentung pada jam 6.43 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan dengan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi selepas memastikan api padam dan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.-DRP
