MANILA: Jabatan Kesihatan Filipina akan mengagihkan kondom secara percuma kepada orang ramai sempena sambutan Hari AIDS Sedunia yang diraikan pada 1 Disember depan, susulan peningkatan kes jangkitan HIV di negara itu.
Menurut laporan The Philippine Star, pengagihan berkenaan akan dilaksanakan menerusi pejabat kesihatan wilayah, kerajaan tempatan (LGU) serta pusat rawatan HIV yang mendapat pengiktirafan DOH.
Program itu dikendalikan menerusi Biro Pencegahan dan Kawalan Penyakit (DPCB) melalui Program Pencegahan dan Kawalan HIV, AIDS dan Jangkitan Kelamin Kebangsaan (NASPCP).
Dalam satu pekeliling jabatan, DOH memaklumkan bekalan kondom percuma akan disalurkan kepada Pusat Pembangunan Kesihatan (CHD), kerajaan tempatan dan pusat rawatan HIV bertauliah untuk digunakan dalam aktiviti advokasi serta jangkauan sempena sambutan berkenaan.
Langkah itu dilaksanakan ketika Filipina berdepan peningkatan kes HIV baharu yang direkodkan setiap bulan sejak 2021 hingga 2025.
Berdasarkan data DOH, purata kes baharu HIV meningkat daripada 1,027 kes sebulan pada 2021 kepada 1,244 kes pada 2022.
Jumlah itu terus meningkat kepada purata 1,435 kes sebulan pada 2023 sebelum mencapai 1,459 kes pada 2024.
Pada 2025, purata kes baharu pula meningkat kepada 1,647 kes sebulan, iaitu kenaikan kira-kira 13 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, Filipina merekodkan 19,764 kes baharu HIV sepanjang 2025.
Peningkatan berkenaan menunjukkan keperluan memperkukuh usaha pencegahan, kesedaran awam, pengesanan awal serta akses kepada perkhidmatan kesihatan berkaitan HIV.
Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS, selain memperkukuh usaha pencegahan serta menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap individu yang hidup dengan HIV.
Kredit sumber: Phiilipine Star
