NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah di ruang legar Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor, pada Selasa lalu.
Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap suspek tempatan berusia 28 dan 48 tahun selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid.
Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Mahkamah turut membenarkan kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Pusat Tahanan Polis Mukim Batu Kuala Lumpur.
Kedua-dua suspek berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan keterangan kes, kedua-duanya ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, untuk pemeriksaan lanjut berhubung satu laporan polis di Bukit Jelutong, Selangor.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah yang berlaku jam 6.50 petang, 17 November lalu, di ruang legar ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.
Polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.- DRP
