KOTA KINABALU: Latar belakang dari kawasan pedalaman Pensiangan, Sabah, tidak menghalang Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa apabila diberi kepercayaan mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Türkiye.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) merangkap Ahli Parlimen Pensiangan itu menyampaikan Kenyataan Negara yang membawa pendirian Malaysia berhubung cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak.
Dalam kenyataan berkenaan, beliau mengetengahkan beberapa isu utama termasuk keadilan iklim, perlindungan biodiversiti, pemeliharaan hutan serta keperluan negara membangun memperoleh sokongan antarabangsa bagi menangani kesan perubahan iklim.
Penglibatan Arthur dalam persidangan itu bukan sekadar mewakili kementerian yang diterajuinya, malah membawa kepentingan dan suara Malaysia dalam perbincangan dasar berkaitan iklim di peringkat global.
Penyertaan tersebut turut mencerminkan peranan Sabah dalam menyumbang kepada pembentukan pendirian negara terhadap isu antarabangsa, khususnya berkaitan kelestarian alam sekitar dan perubahan iklim.
Bagi masyarakat pedalaman Pensiangan, perjalanan Arthur daripada kawasan luar bandar ke pentas antarabangsa itu menjadi satu kebanggaan, sekali gus memperlihatkan bahawa latar belakang geografi bukan penghalang untuk seseorang pemimpin memikul tanggungjawab besar di peringkat negara dan dunia.
Sebagai anggota Kabinet Persekutuan dari Sabah, kehadiran beliau di COP31 turut memperlihatkan sumbangan pemimpin negeri itu dalam membawa isu serta kepentingan Malaysia ke forum antarabangsa.
Perjalanan dari Pensiangan ke pentas dunia itu menjadi gambaran bahawa pemimpin yang berasal dari kawasan pedalaman juga berupaya memainkan peranan dalam perbincangan isu global yang memberi kesan kepada masa depan negara dan masyarakat dunia.-DRP
