SUBANG: Ketibaan helikopter AW189 yang dijadualkan hari ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam memperkukuh keupayaan operasi udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Bagaimanapun, penerimaan aset baharu itu perlu disertai persediaan menyeluruh merangkumi kecekapan anggota, keupayaan teknikal dan pengurusan logistik bagi memastikan penggunaannya dapat dimanfaatkan secara optimum.
Perkara itu ditegaskan Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Ragu a/l Sundararajan, ketika menyampaikan amanat pada Perbarisan dan Amanat Pengarah Bahagian Operasi Udara Tahun 2026 di Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), hari ini.
Beliau berkata, kesiapsiagaan operasi udara bukan sahaja bergantung kepada keupayaan aset, malah turut memerlukan sumber manusia yang kompeten serta pengurusan sokongan operasi yang cekap.
“Penerimaan aset baharu seperti helikopter AW189 perlu disusuli dengan kesiapsiagaan menyeluruh, merangkumi kecekapan sumber manusia, aspek teknikal dan pengurusan logistik. Pada masa sama, keselamatan penerbangan, disiplin serta integriti mesti sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan setiap misi dapat dilaksanakan dengan selamat, cekap dan berkesan,” katanya.
Dalam amanat sama, beliau mengingatkan warga Bahagian Operasi Udara (BOU), SUMS dan Stesen Udara Maritim Kota Kinabalu (SUMKK) agar menghayati Teras Tujuh yang digariskan Ketua Pengarah Maritim Malaysia serta menjadikan disiplin dan integriti sebagai landasan dalam melaksanakan tugas.
Beliau turut menekankan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pengurusan risiko dan pembudayaan amalan kerja selamat dalam setiap perancangan serta pelaksanaan operasi penerbangan.
Menurutnya, semangat kerjasama dan berpasukan juga perlu terus diperkukuh tanpa mengira pangkat atau jawatan kerana kejayaan sesuatu misi bergantung kepada komitmen semua pihak, termasuk kru udara, anggota teknikal, pegawai operasi, pentadbiran dan elemen sokongan.
Selain aspek operasi, kebajikan serta kesejahteraan warga kerja turut perlu diberikan perhatian oleh setiap ketua dan penyelia bagi memastikan anggota dapat menjalankan tanggungjawab dalam persekitaran kerja yang kondusif.
Program berkenaan disertai pegawai kanan dan warga kerja BOU, SUMS serta SUMKK.
Ketibaan Laksamana Pertama Maritim Ragu disambut Ketua Stesen Udara Maritim Subang, Kepten Maritim Nor Azman bin Mohd Zahri, dan Ketua Stesen Udara Maritim Kota Kinabalu, Kepten Maritim Mohd Ikmal bin Ridzuan, bersama pegawai kanan.
Kesiapsiagaan aset, kompetensi anggota dan integriti pasukan merupakan elemen penting dalam memperkukuh pelaksanaan tugas penguatkuasaan, pemantauan serta operasi mencari dan menyelamat Maritim Malaysia demi menjamin keselamatan dan kedaulatan perairan negara.-DRP
