Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Eropah pada Jumaat bagi menyuarakan kemarahan terhadap pelbagai isu termasuk peningkatan kos sara hidup, perbelanjaan ketenteraan dan krisis iklim, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pemimpin politik yang didakwa mengabaikan kebimbangan golongan muda.
Demonstrasi berlangsung di beberapa bandar dari Itali hingga Jerman, Switzerland dan Britain, dengan ramai peserta membawa sepanduk bertulis “Perjuangkan masa depan kita”, menyalakan suar serta membakar model kereta kebal yang diperbuat daripada kadbod.
Himpunan itu diselaraskan gabungan pimpinan belia yang terdiri daripada lebih 50 kumpulan, dengan tuntutan berbeza mengikut lokasi termasuk perang Israel di Gaza, kadar sewa rumah yang tinggi serta kemerosotan keadaan pembelajaran di sekolah dan universiti.
Bagaimanapun, satu tema utama menyatukan semua demonstrasi berkenaan iaitu tanggapan bahawa kerajaan di seluruh benua itu terlalu sibuk menangani krisis geopolitik dan membantu syarikat besar, selain tidak memberikan pelaburan mencukupi terhadap kesejahteraan generasi muda.
Olivia Ferrario, 18, seorang pelajar sekolah menengah yang menyertai demonstrasi di bandar Milan, Itali, berkata golongan muda memperlihatkan “semangat dinamik dan keazaman” mereka dengan turun ke jalanan.
“Jika kerajaan tidak mendengar suara kami, kami tidak boleh terus berdiam diri,” katanya ketika menyertai demonstrasi yang menarik puluhan ribu peserta.
Polis dikerahkan dalam jumlah besar berikutan kebimbangan kemungkinan berulangnya keganasan jalanan yang mencemari beberapa demonstrasi besar baru-baru ini di Perancis dan negara lain.
Di Switzerland, pihak penganjur mendakwa lebih 40,000 penunjuk perasaan menyertai demonstrasi di seluruh negara.
Antara sepanduk yang dibawa di Lausanne tertera mesej “Langkah penjimatan ialah keganasan sosial”, manakala satu lagi berbunyi “Jadilah vegan, tetapi makanlah golongan kaya”.
Kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman. Bagaimanapun, sekumpulan kecil peserta bertembung dengan polis selepas demonstrasi berakhir, menyebabkan pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air, menurut agensi berita tempatan Keystone-ATS.
Di Berlin, kira-kira 1,000 pelajar universiti dan sekolah berhimpun bagi membantah beberapa isu termasuk peningkatan pesat persenjataan semula Jerman yang mencetuskan kebimbangan kemungkinan pengenalan semula khidmat ketenteraan wajib.
“Saya berpendapat adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan… untuk memaksa seseorang belajar cara berperang dan membunuh, kemudian menghantarnya ke medan perang,” kata Helena Kossatz, 18, yang menamatkan persekolahan tahun lalu kepada AFP.
Ketika Eropah berusaha memperkukuh persenjataannya berdepan ancaman Rusia yang dianggap bermusuhan, penganjur demonstrasi seluruh benua itu berpendapat dana yang diperuntukkan bagi persenjataan semula sepatutnya disalurkan kepada pendidikan, dasar belia dan perumahan.
Di London, beberapa ratus penunjuk perasaan, termasuk sebahagian yang memakai pakaian seragam sekolah, berhimpun di luar bangunan Parlimen dan Dataran Trafalgar berhampiran.
Mereka membawa sepanduk dengan mesej “Selamatkan pendidikan tinggi” dan “Perjuangkan masa depan kita, bukan peperangan mereka”.
“Saya sudah kehilangan begitu banyak harapan,” kata Eliz, yang mengambil cuti daripada menghadiri kolej pada hari berkenaan dan hanya memperkenalkan dirinya dengan satu nama kepada AFP.
Remaja berusia 18 tahun itu berkata beliau tidak pasti sama ada akan melanjutkan pengajian ke universiti berikutan masalah kewangan serta kebimbangan bahawa kebanyakan pekerjaan akan diambil alih oleh kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut menyifatkan keadaan semasa sebagai semakin membebankan sehingga menyebabkan ramai orang berasa lebih tertekan dan murung.
Ketegangan turut berlaku apabila beberapa kumpulan penunjuk perasaan berhaluan kanan bertembung dengan kumpulan anti-fasis. AFP turut menyaksikan beberapa individu ditahan.
Laungan “Palestin akan hidup selama-lamanya” kedengaran dalam demonstrasi di London, manakala bendera Palestin turut dipamerkan dalam beberapa himpunan di seluruh Eropah.
Di Rome, pelajar sekolah menengah berarak di belakang sepanduk yang tertera mesej “Kami akan mengambil kebebasan jika tiada siapa memberikannya kepada kami – menentang kerajaan, peperangan dan kos sara hidup yang tinggi”.
Pertembungan turut berlaku di ibu negara Itali itu apabila beberapa penunjuk perasaan membaling botol dan bom asap ke arah polis.
Di Madrid, ibu negara Sepanyol, peserta demonstrasi menuntut peningkatan peruntukan pendidikan dan membantah pertambahan perbelanjaan ketenteraan.
Gabriela Gimeno Serrano, 16, seorang pelajar sekolah menengah, berkata terdapat 33 pelajar dalam kelasnya yang hanya dikendalikan seorang guru.
“Bilik darjah sangat kecil, manakala kemudahan berada dalam keadaan yang amat teruk,” katanya kepada AFP.
Beliau turut mendakwa beberapa sekolah berdepan masalah kehadiran tikus dan lipas.
Demonstrasi dijangka berlanjutan sehingga hujung minggu apabila kesatuan sekerja dan persatuan perumahan turut menyeru penganjuran lebih banyak himpunan.
Protes itu berlangsung sekitar ulang tahun gerakan Jaket Kuning di Perancis yang menggoncang pentadbiran Presiden Emmanuel Macron pada 2018 dan 2019. Demonstrasi turut dirancang di negara itu pada Sabtu.
Himpunan di beberapa negara Eropah itu sebahagiannya mendapat inspirasi daripada demonstrasi terbaharu di Perancis yang kadangkala bertukar ganas.
Demonstrasi berkenaan bermula apabila pelajar sekolah menengah mengadakan bantahan pada pertengahan September bagi menuntut keadaan pembelajaran lebih baik.
Tindakan itu kemudian mencetuskan kempen di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga yang mendadak, perkhidmatan awam yang tidak mencukupi serta kekerasan polis.
Kredit sumber: AFP
