KOTA BHARU: Taktik sindiket dadah menyembunyikan 750 kilogram (kg) syabu di ruang rahsia bawah lantai sebuah lori terbongkar selepas kenderaan itu dipintas polis Thailand di wilayah Nakhon Si Thammarat, Rabu lalu.
Rampasan dadah bernilai kira-kira 300 juta baht (RM36.3 juta) itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rentas sempadan ke Malaysia.
Menurut jurucakap keselamatan Thailand, operasi dijalankan Polis Wilayah 8 selepas pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membawa bekalan dadah dari utara ke selatan negara itu.
Bertindak atas maklumat berkenaan, pasukan operasi dengan kerjasama polis daerah Chulabhorn mengadakan sekatan jalan raya sebelum memintas lori terbabit kira-kira jam 1.45 pagi waktu tempatan.
Pemeriksaan mendapati bahagian lantai lori itu telah diubah suai menjadi struktur dua lapisan bagi menyediakan ruang tersembunyi untuk menyimpan dadah.
Sebanyak 750kg syabu ditemukan di bawah panel lantai berkenaan.
Siasatan Bahagian 44 Polis Peronda Sempadan mendapati lori itu bergerak dari Songkhla ke daerah Chiang Saen, Chiang Rai, pada 9 November lalu untuk mengambil bekalan dadah sebelum memulakan perjalanan pulang ke selatan pada 18 November.
Dadah berkenaan dibungkus menggunakan bungkusan yang memaparkan jenama teh tradisional Cina yang turut dijual secara meluas di Malaysia.
Kedua-dua suspek dipercayai mengaku membawa dadah itu dari Chiang Rai ke Hat Yai sebelum ia diseludup masuk ke Malaysia, yang dikenal pasti sebagai destinasi akhir sindiket berkenaan.
Hat Yai di wilayah Songkhla dipercayai dijadikan hab transit sebelum bekalan dadah dibawa merentasi sempadan.
Siasatan lanjut turut mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai anggota sindiket dadah rentas sempadan yang mendapatkan bekalan syabu dari kawasan pesisir pantai di Chiang Saen, Chiang Rai, untuk diedarkan ke selatan Thailand dan seterusnya ke Malaysia.
Mereka juga mengaku pernah melakukan beberapa penghantaran sebelum ini dengan bayaran sebanyak satu juta baht (RM121,000) bagi setiap perjalanan, menurut jurucakap berkenaan.-DRP
