WASHINGTON: Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menjadi sasaran serangan siber oleh penggodam ketika kebimbangan semakin meningkat susulan beberapa gangguan teknologi yang melanda institusi penting negara itu sejak kebelakangan ini.
Beberapa gangguan besar dalam beberapa minggu kebelakangan ini menjejaskan perjalanan, komunikasi dan urusan perdagangan elektronik bagi ramai pengguna di seluruh AS, malah turut melibatkan rangkaian rahsia peringkat tertinggi di Agensi Keselamatan Negara (NSA).
Presiden AS, Donald Trump berusaha meredakan kebimbangan orang ramai dengan menggesa mereka supaya bertenang, manakala pegawai kerajaan berkata, pelbagai gangguan itu tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.
Menurut laporan NBC yang memetik dua bekas pegawai USDA, jabatan itu memaklumkan kakitangannya sistem yang digunakan untuk memudahkan pembayaran kepada petani menjadi sasaran serangan siber.
Bekas pegawai berkenaan berkata, penggodam mungkin menggunakan sistem pembayaran itu sebagai pintu belakang untuk mengakses maklumat yang lebih sensitif.
“USDA mengendalikan pelbagai isu biologi yang membimbangkan dan sekiranya musuh atau pesaing mendapat akses kepada maklumat sama, mereka boleh menggunakan penyelidikan jabatan itu untuk kepentingan sendiri,” katanya.
Sementara itu, CNN melaporkan FBI digodam buat kali kedua sejak September lalu.
Agensi persekutuan itu sedang menyiasat pencerobohan ke dalam Pusat Maklumat Jenayah Kebangsaan (NCIC) yang dipercayai dilakukan penggodam, menurut CNN yang memetik dua individu yang diberi taklimat mengenai siasatan berkenaan.
NCIC mempunyai pangkalan data maklumat jenayah di seluruh negara yang menghubungkan agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan. Sistem itu digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai waran tangkap serta semakan latar belakang.
Pencerobohan yang baru didedahkan membabitkan FBI dan USDA itu disifatkan sebagai penggodaman, berbeza daripada gangguan perkhidmatan seperti yang menjejaskan Microsoft Outlook dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).
Pada September lalu, kumpulan penggodam dikenali sebagai ShinyHunters menyasarkan data peribadi sensitif kakitangan menerusi laman web pengambilan pekerja FBI.
Kredit sumber: AFP/Utusan Malaysia
