KUALA LUMPUR: Malaysia bercadang membeli empat helikopter Airbus H225M untuk memperkukuh keupayaan mencari dan menyelamat tempur (CSAR) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
MINDEF sudah menyerahkan surat hasrat (LOI) kepada Airbus Helicopters bagi perolehan empat helikopter itu menerusi fasa pertama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan perolehan itu adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).
Helikopter itu turut digunakan bagi menyokong operasi khas, misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana.
TUDM sudah mempunyai 12 helikopter H225M, yang turut dikenali sebagai EC725 Caracal. Menurut Airbus, armada itu mula berkhidmat pada 2012. Pembelian terbaharu ini akan menjadikan keseluruhannya 16 buah.
Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan dua hala antara Mohamed Khaled dan Menteri Angkatan Tentera dan Hal Ehwal Veteran Perancis, Catherine Vautrin, di Kuala Lumpur.
Cadangan perolehan itu sebahagian daripada kerjasama pertahanan Malaysia dan Perancis susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Kerjasama artileri dan kapal selam
MINDEF turut menyerahkan LOI kepada kumpulan pertahanan Perancis-Jerman, KNDS, bagi cadangan perolehan sistem meriam artileri ringan 105mm untuk Tentera Darat Malaysia.
Cadangan itu meliputi 36 komponen meriam untuk pemasangan tempatan serta peralatan sokongan.
Boustead Submarine Engineering Services Sdn. Bhd. pula menyerahkan LOI kepada Naval Group, Thales dan Safran bagi cadangan menaik taraf kapal selam kelas Scorpène milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Menerusi cadangan itu, Hexide Engineering Services Sdn. Bhd. akan bertindak sebagai rakan perkhidmatan tempatan eksklusif Safran bagi kapal selam berkenaan dan menerima pemindahan teknologi.
Kredit sumber: DagangNews.com
