BEDONG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita sebuah lori Isuzu yang dilengkapi tangki diubah suai serta kira-kira 180 liter minyak disyaki diesel dalam operasi penguatkuasaan di Kampung Telaga Cina, Semeling, di sini, pada 22 November lalu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi KPDN Kedah, operasi oleh KPDN Cawangan Alor Setar itu dilaksanakan hasil maklumat risikan Unit Risikan KPDN.
Pemeriksaan di premis berkenaan turut menemukan kira-kira 7,200 liter minyak disyaki diesel yang disimpan dalam tangki jenis IBC dan tong plastik.
Walaupun premis terbabit mempunyai permit penyimpanan yang masih sah, pihak penguat kuasa mendapati pemiliknya gagal mengemukakan invois pembelian serta buku stok semasa pemeriksaan dijalankan.
Selain penemuan itu, pemeriksaan turut membawa kepada penyitaan sebuah lori Isuzu yang mempunyai tangki diubah suai bersama kira-kira 180 liter minyak disyaki diesel.
Hasil tindakan berkenaan, sebanyak dua kes dihasilkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan sebuah lori dan 180 liter minyak disyaki diesel yang disita.
Jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM23,849.60.
KPDN memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pengurusan dan pengedaran barang kawalan mematuhi peruntukan undang-undang.
Usaha itu turut bertujuan membanteras sebarang bentuk penyelewengan demi melindungi kepentingan pengguna serta negara.-DRP
