PENGERANG: Alasan memerlukan teman kerana mengalami demam membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 18 tahun bersama seorang wanita berstatus janda berusia 25 tahun dalam pemeriksaan khalwat di sebuah rumah sewa di sini.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 10.35 malam selepas pihaknya menerima aduan awam.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya berada di dalam rumah berkenaan dan mengaku bukan pasangan suami isteri.
Menurut kenyataan itu, lelaki terbabit turut menunjukkan surat cuti sakit yang dikeluarkan sebuah klinik serta ubat-ubatan bagi membuktikan dirinya sedang demam dan tidak bekerja pada hari berkenaan.
Pemeriksaan mendapati lelaki itu hanya memakai seluar pendek, manakala wanita berkenaan memakai seluar panjang dan baju-T.
Pihak penguat kuasa turut mendapati rumah sewa berkenaan mempunyai dua bilik, dengan sebuah daripadanya dilengkapi katil yang berada dalam keadaan tidak teratur.
Ketika ditanya mengenai kehadiran wanita itu, lelaki terbabit memberikan alasan mahu ditemani kerana sedang mengalami demam.
Bagaimanapun, pihak penguat kuasa menjelaskan bahawa alasan sakit bukan justifikasi untuk lelaki dan wanita bukan mahram berada berdua-duaan dalam keadaan sedemikian.
Siasatan turut mendapati pasangan berkenaan sudah berkenalan lebih setahun dan dikatakan mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, namun masih belum menetapkan tarikh pernikahan.
Kedua-duanya kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27.-DRP
