Oleh : Salam Undong
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar, mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di dalam tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar, ruang menunggu VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Kejadian itu berlaku ketika beliau menggunakan tandas berkenaan sebelum permukaan lantai yang licin menyebabkan beliau terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai.
Menerusi perkongsian di Facebook, Jamawi menjelaskan kecederaan tersebut menyebabkan beliau perlu mendapatkan rawatan dan jahitan luka di Menara Medical Clinics KLIA.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor serta jururawat yang bertugas di klinik berkenaan atas bantuan dan rawatan segera yang diberikan.
Susulan kejadian itu, beliau memaklumkan telah menasihatkan pihak pengurusan Malaysia Airports supaya melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan terhadap permukaan lantai tandas serta laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA.
Menurutnya, latihan juga perlu diberikan kepada kakitangan bagi memastikan tindakan awal dan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan sekiranya kejadian seumpama itu berlaku.
Walaupun mengalami kecederaan, Jamawi memaklumkan beliau akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang selepas melalui perjalanan jauh dari Brasilia dan Sao Paulo, Brazil, sebelum transit di Doha dan tiba di KLIA.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menghubunginya menerusi panggilan telefon dan WhatsApp selepas melihat keadaannya dengan kepala berbalut ketika berada di KLIA.
Perkongsian itu turut menjadi peringatan mengenai kepentingan aspek keselamatan kemudahan awam, khususnya permukaan lantai tandas yang berisiko menyebabkan pengguna tergelincir dan mengalami kecederaan.-DRP
