KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, khususnya bagi memberi ruang kepada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan mengambil kira kesulitan yang mungkin dihadapi penduduk, namun pelaksanaan penguatkuasaan tetap perlu berpandukan proses undang-undang serta peraturan ditetapkan.
Beliau menjelaskan, Kampung Pondo merupakan penempatan setinggan yang sudah terlalu padat dengan kediaman, selain terletak di kawasan pulau yang dikenal pasti sebagai kawasan peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan rumah.
Menurutnya, kerajaan sudah lama mengeluarkan nasihat supaya penduduk tidak mendirikan kediaman di kawasan berkenaan.
“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana.
“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat pulau, jadi rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, Ahad.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah menetapkan supaya penempatan setinggan dipindahkan atau dirobohkan, selaras dengan perancangan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Katanya, penduduk perlu memahami bahawa walaupun kawasan itu sudah diduduki selama berpuluh-puluh tahun, statusnya sebagai kawasan larangan mendirikan rumah tetap tidak berubah.
“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.
“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.
Beliau turut berkata, setiap kali tindakan perobohan hendak dilaksanakan, pelbagai alasan dan tuduhan timbul, termasuk dakwaan kerajaan tidak mengambil berat terhadap kebajikan penduduk.
Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap berusaha mencari penyelesaian bagi memastikan kehidupan penduduk yang terjejas tidak terabai, tanpa mengetepikan keperluan melaksanakan penguatkuasaan terhadap penempatan setinggan.-DRP
