Editorial
ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menahan 52 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Alor Setar, kira-kira jam 9.45 pagi.
Operasi berkenaan turut dipantau Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Dato’ Loqman Effendi Ramli bersama Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain.
Dalam operasi itu, seramai 64 individu diperiksa membabitkan 56 warga asing dan lapan rakyat tempatan.
Hasil pemeriksaan, 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Daripada jumlah itu, 38 merupakan warga Bangladesh (lelaki), 13 warga Indonesia (10 lelaki dan tiga perempuan) serta seorang lelaki warga Myanmar.
Kesemua tahanan berusia antara 19 hingga 55 tahun. Turut dikeluarkan satu saman saksi bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Loqman Effendi, kebanyakan individu yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Selain itu, terdapat warga asing yang bekerja menggunakan pas kerja di bawah syarikat lain dan bukan majikan sebenar mereka.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya memastikan setiap pekerja asing mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah serta bekerja mengikut majikan dan sektor yang diluluskan.
Majikan juga dilarang menggaji pekerja asing yang menggunakan permit kerja di bawah syarikat lain atau bekerja di luar sektor yang ditetapkan.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
JIM Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penyalahgunaan pas dan permit, khususnya dalam sektor pembinaan.- DRP
