Oleh NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Keperluan menambah baik kemudahan asas termasuk sistem pencahayaan di pekan dan bandar di Sabah sedang diberi perhatian Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menerusi tindakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, beliau sudah bertemu dan menerima maklumat daripada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta pemimpin PBT lain berhubung keperluan penambahbaikan berkenaan.
Beliau berkata, satu perhimpuan bersama pegawai berkaitan turut berlangsung pada minggu ini bagi mendengar dan mengambil perhatian isu keperluan rakyat.
“Kita ambil perhatian dan sudah diambil tindakan… proses sedang berjalan melalui Setiausaha Tetap kami, Setiausaha Tetap kementerian dan juga akan dibawa ke PBT masing-masing.
“Minggu ini kita ada perhimpunan bersama dengan pegawai daerah, pengerusi majlis perbandaran dan juga pegawai eksekutif serta akan memberikan amanat.
“Antara amanatnya itu kita harus sedia untuk mendengar dan memberi yang sehabis baik perkara-perkara yang perlu untuk kepentingan rakyat termasuk kemudahan pencahayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Karnival Tawau Lestari 2026 – Program Rakan Lestari, Bandar Selamat dan Perasmian Rumah Lestari di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan ADUN Tanjung Batu, Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal.
Terdahulu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada MPT atas pelaksanaan Rumah Lestari yang disifatkannya sebagai program pertama seumpama itu di Sabah dan boleh dicontohi PBT lain.
Katanya, program berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat menerusi penerapan nilai hijau secara santai, termasuk meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
“Satu, rumah ini sangat baik untuk mengajar atau menjadi model kepada masyarakat yang datang. Kedua, yang sangat penting juga baik untuk anak-anak kita.
“Pendidikan sangat penting untuk titik bermula kesedaran berhubung dengan kecintaan terhadap alam sekitar,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai murid dan pelajar sekolah mengunjungi Rumah Lestari bagi melihat program termasuk aktiviti yang dilaksanakan jawatankuasa berkenaan.
Untuk rekod, Karnival Tawau Lestari ini merupakan kesinambungan Program Jelajah I-Hijau 2026 anjuran KKTP pada 09 Mei 2026 lalu sebagai platform memperkasa kesedaran komuniti terhadap penjagaan alam sekitar dan budaya kehidupan lestari.-DRP
