KUDAT, 22 November 2026 – Program Jelajah Aku Kasih Malaysia meneruskan siri jelajahnya ke Daerah Kudat sebagai lokasi ketiga selepas Sepanggar dan Kota Marudu, dalam usaha memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta menyemai rasa cinta terhadap negara.
Menurut hantaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, program yang berlangsung di Dataran Tomborungus itu turut menyediakan ruang kepada masyarakat setempat untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan menerusi Sesi Townhall Bersama Komuniti Kudat.
Sesi berkenaan melibatkan beberapa agensi utama, iaitu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Sabah Electricity.
Menerusi pertemuan itu, penduduk setempat bersama pemimpin kampung berpeluang mengutarakan pelbagai permasalahan serta menyampaikan aduan secara terus kepada wakil agensi yang berkaitan.
Pendekatan berkenaan dilihat penting bagi memastikan setiap keluhan dan keperluan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus membuka ruang kepada tindakan susulan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Mustapha berkata, Kudat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang berdasarkan keunikan warisan budayanya, keindahan alam semula jadi serta kedudukan geografinya yang strategik.
Sehubungan itu, pembangunan daerah berkenaan perlu terus diberi keutamaan, terutama dalam mempertingkat kemudahan infrastruktur, memperkukuh kegiatan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memajukan Kudat memerlukan komitmen serta kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat setempat.
Pandangan dan suara rakyat juga perlu terus diambil kira dalam merangka penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi, selain memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, semua agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk Kudat yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan. – DRP
