KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meningkatkan peruntukan bantuan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam sebanyak RM20 juta kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM70 juta pada 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan institusi pendidikan dan keagamaan terus mendapat sokongan pembangunan secara adil dan saksama.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2026 di The Pacific Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, daripada keseluruhan peruntukan RM90 juta itu, sebanyak RM40 juta diluluskan untuk disalurkan kepada 320 sekolah yang memenuhi syarat permohonan.
Katanya, Kementerian Kewangan menerima 339 permohonan bantuan daripada sekolah tahun ini, dengan jumlah keseluruhan peruntukan dipohon sebanyak RM107.27 juta melibatkan lima kategori sekolah yang dibenarkan.
Sementara itu, sebanyak RM50 juta disalurkan kepada 1,761 badan keagamaan bukan Islam daripada 1,810 permohonan yang diterima, membabitkan jumlah peruntukan dipohon sebanyak RM235.30 juta.
Permohonan berkenaan merangkumi tokong, kuil dan pelbagai denominasi gereja di seluruh Sabah.
Hajiji berkata, kerajaan memahami keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar berbanding kemampuan peruntukan sedia ada, justeru bantuan diberikan berdasarkan keutamaan, keperluan dan kedudukan kewangan kerajaan.
“Apabila kemampuan kewangan kerajaan mengizinkan, kita akan terus berusaha meningkatkan sokongan dan bantuan kepada rakyat serta institusi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan, bantuan berkenaan bukan sekadar program bermusim, sebaliknya tanggungjawab kerajaan dalam memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu dan rumah ibadat terpinggir daripada sokongan pembangunan.
Dalam aspek pendidikan, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan peluang pembelajaran bagi memastikan generasi muda Sabah memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk bersaing.
Katanya, pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil itu untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah, selain memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan keterbukaan kerajaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan di negeri ini dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama perlu terus dipelihara kerana kepelbagaian itu merupakan kekuatan yang menyatukan rakyat, bukannya faktor perpecahan.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat, menjaga keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua,” katanya.-DRP
