Editorial
TAWAU: Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan polis selepas menemui sebilah parang panjang dan sebatang besi paip bulat di dalam sebuah kereta dalam pemeriksaan di kawasan Bandar Tawau, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 2.20 pagi oleh sepasukan anggota Balai Polis Tawau yang menjalankan rondaan cegah jenayah (Bit) di kawasan berkenaan.
Menurutnya, anggota polis mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan menemukan sebilah parang panjang lengkap dengan hulu dan sarung serta sebatang besi paip bulat yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu.
Pemeriksaan lanjut terhadap enam lelaki yang berada di dalam kenderaan itu turut mendapati seorang daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun dan lima lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 37 tahun. Mereka yang bekerja sebagai nelayan itu kemudian dibawa bersama kenderaan dan barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
ACP Rosdi menegaskan pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar undang-undang, selain mempergiatkan rondaan dan pemeriksaan bagi membendung kegiatan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang, tidak membawa atau menyimpan senjata berbahaya tanpa kebenaran serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.- DRP
