TENOM: Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas digilis kereta api ketika dipercayai dalam perjalanan pulang dari kebun menggunakan troli kayu buatan sendiri di landasan kereta api Kampung Pangi, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa ditemui tersepit di bawah gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom. Mangsa dipercayai menggunakan troli berkenaan untuk bergerak melalui landasan dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom dan dilaporkan mempunyai masalah pendengaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 1.20 tengah hari sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi. Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, operasi berdepan kesukaran berikutan laluan ke lokasi terhad dan tidak dapat dilalui jentera bomba, menyebabkan anggota terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung menggunakan troli bermotor buatan sendiri. Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang kaki dan badan serta kecederaan di kepala sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 2.04 petang. – DRP
