KOTA KINABALU: Sabah memerlukan sebuah hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi serta menjadi pusat latihan terunggul bagi perkhidmatan pra-hospital di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha memperkukuh perkhidmatan kecemasan perlu diberi perhatian, khususnya dalam menangani kekurangan sumber manusia dan kelengkapan ambulans di seluruh Sabah.
Menurutnya, penambahbaikan itu penting bagi memastikan perkhidmatan pra-hospital atau ambulans mampu menyediakan rawatan berkualiti dan berkesan kepada masyarakat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini termasuk Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular atau strok serta kemalangan jalan raya.
Malah, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan panggilan kecemasan menerusi talian 999 meningkat daripada 14,256 panggilan pada 2024 kepada 15,434 panggilan pada 2025.
Sebanyak 10,154 panggilan pula direkodkan setakat September tahun ini.
“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian rangkaian penjagaan kesihatan secara berterusan kepada masyarakat dengan masa respons yang singkat dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji turut menekankan kepentingan melatih lebih ramai individu dalam kalangan masyarakat sebagai ahli pertolongan cemas bagi memberikan bantuan awal sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan pra-hospital.
Katanya, tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja mampu mengurangkan risiko komplikasi, malah berpotensi menyelamatkan nyawa mangsa.
Beliau berkata, keluasan geografi Sabah dengan populasi kira-kira 3.4 juta orang berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, serta kepadatan penduduk purata hanya 46 orang bagi setiap kilometer persegi, menjadikan peranan responden pertama komuniti amat penting.
Dalam keadaan sedemikian, peluang mangsa untuk terus hidup pada minit-minit awal kecemasan banyak bergantung kepada keupayaan orang awam dan responden pertama terlatih untuk memulakan bantuan termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran kursus berkenaan sebagai inisiatif tepat kerana melibatkan pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai di Jabatan Ketua Menteri.
“Usaha ini adalah satu inisiatif yang baik dan wajar diteruskan secara tetap serta melibatkan semua pengiring peribadi Yang Berhormat yang menguruskan perkhidmatan rakyat di lapangan,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Datuk Dr G. Mohan A. Gopal Naidoo dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Sabah atas kejayaan menganjurkan kursus berkenaan.
Beliau berharap program itu dapat menjadi inspirasi kepada pengiring peribadi yang belum mengikuti latihan seumpamanya, selain menjadi contoh kepada Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, beliau mahu setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan masing-masing untuk melatih dan menyediakan pasukan pertolongan cemas yang berkemahiran serta bersedia menghadapi situasi kecemasan di kawasan masing-masing.
Menurutnya, usaha itu selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terus terpelihara.
Beliau turut menggariskan sasaran supaya lebih ramai orang awam dilatih sebagai ahli pertolongan cemas menerusi pendekatan ‘Satu Orang Ahli Pertolongan Cemas Setiap Keluarga’.-DRP
