OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pemuda dari daerah ini ke Kemboja bagi tujuan eksploitasi kerja paksa, dua tahun lalu.
Lim Thong Sheng, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Lim bersama seorang lagi yang belum dituduh didakwa memperdagangkan tiga pemuda berusia antara 22 hingga 23 tahun dari Tawau ke Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja paksa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan niat bersama antara 21 Ogos hingga 15 September 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Januari 2027.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.-DRP
