JOHOR BAHRU: Penemuan beberapa bungkusan plastik hitam yang mengandungi kitab suci al-Quran dan buku berkaitan agama Islam di sekitar Ulu Tiram, di sini, mencetuskan siasatan polis bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab serta motif kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan itu kira-kira jam 7 pagi, 24 November 2026.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi mendapati terdapat sejumlah bungkusan plastik hitam yang mengandungi kitab al-Quran serta pelbagai buku berkaitan agama Islam, termasuk Surah Yasin.
Susulan penemuan itu, polis membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dan menyiasat motif kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Victor menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian itu kepada balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam menerusi talian 07-3864222.
Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu polis menjalankan siasatan secara teliti dan adil.-DRP
