OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
KULAI: Seorang juruteknik kilang berusia 42 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dan motosikal di Kilometer 22.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, petang semalam.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan jam 4.13 petang itu dipercayai bermula apabila motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori Nissan yang berada di lorong kiri.
“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Keadaan bertambah buruk apabila sebuah motosikal jenis Suzuki yang datang dari arah sama dipercayai gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki yang menunggang motosikal berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian siku kanan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI).
Sementara itu, pemandu lori berusia 39 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTSMTI untuk bedah siasat, manakala semua kenderaan yang terlibat ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed menerusi talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi membantu siasatan,” katanya.-DRP
