OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
SERI ISKANDAR: Sebuah kereta jenis Honda HR-V musnah kira-kira 80 peratus selepas terbakar dalam kejadian di Jalan Kampung Bali menghala ke Seri Iskandar, tengah malam tadi.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 11.57 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar tiba di lokasi 14 minit kemudian.
Ketua Operasi, PBK I Mustaza Shahfri, melakukan penilaian awal di lokasi sebelum anggota bomba memulakan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan bekalan air daripada tangki jentera.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.54 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya lima minit kemudian.
Operasi berkenaan membabitkan lapan anggota BBP Seri Iskandar dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.
Jarak perjalanan pasukan bomba dari balai ke lokasi kejadian adalah kira-kira 13 kilometer.-DRP
