BESUT: Seorang lelaki berusia 54 tahun yang disyaki mengalami Sindrom Koronari Akut (Acute Coronary Syndrome – ACS) berjaya dipindahkan dari Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil ke Hospital Besut menerusi operasi bantuan kecemasan menggunakan aset Bot PERKASA 34 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurut hantaran di Facebook rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, operasi pemindahan berkenaan dilaksanakan pada 15 November lalu selepas Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu menerima panggilan kecemasan daripada pihak Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil kira-kira jam 6.41 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai keadaan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan segera sebelum tindakan pemindahan ke tanah besar dilakukan.
Beliau berkata, Bot PERKASA 34 digerakkan bagi membawa pesakit ke Jeti Pelancongan Kuala Besut untuk diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dibawa ke Hospital Besut bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Menurutnya, keupayaan aset dan anggota Maritim Malaysia dalam melaksanakan operasi pemindahan pesakit merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan agensi itu dalam menjaga keselamatan dan kebajikan masyarakat, khususnya penduduk serta pengunjung di kawasan perairan negara.
Katanya, Maritim Malaysia sentiasa bersedia memberikan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim, terutama mereka yang berada di kawasan pulau dan berhadapan dengan keterbatasan akses kepada kemudahan perubatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa tanggungjawab Maritim Malaysia bukan sekadar tertumpu kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan perairan, malah turut melibatkan misi kemanusiaan menerusi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta bantuan kecemasan kepada masyarakat.
Komitmen tersebut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia sebagai agensi yang sentiasa bersedia dan prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira keadaan, sekali gus memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim terus terpelihara. – DRP
