Editorial
SANDAKAN: Penduduk Sandakan dijangka berdepan gangguan dan catuan bekalan elektrik serta air selama beberapa hari susulan kerosakan infrastruktur penghantaran elektrik akibat kejadian menara penghantaran tumbang di kawasan Ranau.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, kejadian itu menjejaskan Talian Penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di lapan daerah di Pantai Timur Sabah.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur berkenaan dijangka mengambil masa antara enam hingga sembilan hari, bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi di lokasi kejadian.
Katanya, Sabah Electricity (SE) Sandakan sedang mengoptimumkan penggunaan lima stesen janakuasa tempatan iaitu di Libaran, Batu Sapi, Labuk, Seguntor dan Mowtas bagi membantu menyalurkan bekalan elektrik.
Bagaimanapun, kapasiti janakuasa berkenaan masih terhad dan tidak mampu menampung keseluruhan permintaan pengguna, menyebabkan catuan bekalan elektrik di beberapa kawasan tidak dapat dielakkan.
Gangguan elektrik turut menjejaskan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) utama iaitu Segaliud, Kinabatangan, Sibuga dan Hilltop, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran serta pengagihan air kepada pengguna.
Walter turut memohon maaf kepada penduduk atas kesulitan yang berlaku, khususnya golongan warga emas, kanak-kanak, pesakit dan peniaga yang terjejas dengan gangguan bekalan berkenaan.
Beliau turut menzahirkan simpati kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan ketika ini dan menyeru ibu bapa serta masyarakat supaya membantu memastikan persediaan serta tumpuan pelajar tidak terjejas.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan supaya berjimat menggunakan air dan elektrik, menyimpan bekalan air secukupnya serta membantu golongan yang memerlukan.
Masyarakat juga diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini menerusi saluran rasmi pihak berkuasa.
Beliau memberi jaminan JPBD Sandakan akan terus berhubung dengan Sabah Electricity dan Jabatan Air bagi memantau perkembangan serta memastikan usaha pemulihan dilaksanakan sebaik mungkin.- DRP
