PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengamalkan siasatan secara dua darjat atau pilih kasih dalam mengendalikan mana-mana kes, sebaliknya sentiasa berpegang kepada prinsip profesionalisme, integriti dan keadilan.
Dalam kenyataan media yang disiarkan menerusi Facebook rasmi SPRM pada 27 November 2026, suruhanjaya itu menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud amalan siasatan berbeza mengikut kedudukan atau latar belakang individu. SPRM menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas serta tidak menggambarkan prosedur dan prinsip kerja yang diamalkan dalam setiap penyiasatan.
Menurut SPRM, siasatan berkaitan isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang membabitkan sebuah kementerian telah dimulakan pada 7 Oktober 2026.
Setakat ini, seramai 20 individu daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan.
SPRM memaklumkan bahawa proses penyiasatan masih berjalan dengan penelitian terperinci terhadap semua maklumat dan keterangan yang telah dikumpulkan bagi memastikan setiap perkara berkaitan isu berkenaan diteliti secara menyeluruh.
Pada masa sama, SPRM menghormati hak masyarakat untuk mengemukakan pandangan, kritikan serta teguran terhadap agensi berkenaan.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu mengingatkan bahawa setiap kenyataan atau tuduhan perlu disokong fakta yang tepat dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya bersandarkan tanggapan atau andaian semata-mata.
SPRM turut menjelaskan bahawa semua siasatan dijalankan berlandaskan fakta, bukti serta peruntukan undang-undang tanpa mengambil kira pangkat, kedudukan mahupun latar belakang mana-mana pihak yang terlibat.
Suruhanjaya itu menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus dihormati serta dipertahankan. – DRP
