KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pembukaan dua kertas siasatan berasingan membabitkan hantaran media sosial Tony Pua berkaitan maklumat penyahklasifikasi dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak serta kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka berhubung arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Negara yang disiarkan menerusi Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menerima laporan polis dan memulakan siasatan terhadap kedua-dua isu berkenaan yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Bagi kes pertama, PDRM telah menerima sebanyak 55 laporan polis berkaitan hantaran Facebook Tony Pua yang didakwa mengandungi maklumat penyahklasifikasi dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi kes kedua, sebanyak dua laporan polis diterima berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan dengan sengaja melukakan perasaan agama seseorang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran dalam kalangan masyarakat, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kedua-dua kes berkenaan masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran proses siasatan.
PDRM turut memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyentuh atau membangkitkan isu berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja dalam apa jua bentuk sehingga boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat.
Beliau menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menghasilkan atau menyebarkan kenyataan berpotensi mencetuskan ketakutan dan kegentaran awam. – DRP
