NABAWAN: Seorang guru wanita bersama tujuh pelajar perempuan berjaya dipindahkan dengan selamat selepas terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Pamunterian, di sini, petang tadi.
Kesemua lapan mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menyertai lawatan sambil belajar di Kundasang itu dibawa ke Asrama Sekolah Kebangsaan Pamunterian menggunakan sebuah bot penyelamat.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang menerusi talian balai.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan tiba di lokasi pada jam 2.23 petang dan mengesahkan berlaku kejadian banjir sebelum melaksanakan operasi pemindahan mangsa.
Operasi itu membabitkan lima anggota bomba dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut laporan sama, operasi pemindahan selesai pada jam 4.27 petang selepas semua mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat.
Ketua operasi kemudian mengesahkan keadaan di lokasi terkawal dan tiada keperluan untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan di kawasan berkenaan kekal selamat.-DRP
