LUBOK ANTU: Sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Engkilili, kelmarin.
Operasi berkenaan turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 189 kenderaan pelbagai jenis dan 201 individu bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membendung kegiatan jenayah di kawasan berkenaan.
Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson anak Ensit, dengan kekuatan 20 anggota polis terdiri daripada seorang pegawai kanan dan 19 pegawai rendah polis daripada pelbagai pangkat serta cawangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha a/l Azin, operasi berkenaan bertujuan mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah dan membanteras kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Selain itu, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas menerusi sekatan jalan raya.
Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara.-DRP
