KOTA KINABALU: Kerja-kerja pelepasan kabel penghantaran yang merentangi jalan raya berhampiran menara T313 berjaya diselesaikan pasukan teknikal Sabah Electricity, hari ini.
Menurut hantaran Facebook rasmi Sabah Electricity Careline pada jam 3.05 petang, kejayaan itu menyusul kerja pemasangan kabel penahan pada dua menara penghantaran berhampiran T313 yang dilaksanakan sejak semalam.
Seiring dengan perkembangan itu, jentera berat jenis excavator yang sebelum ini digunakan untuk menahan dan mengangkat kabel berkenaan turut dialihkan.
Sabah Electricity memaklumkan, kerja berkenaan merupakan satu lagi kemajuan dalam persediaan sebelum pemasangan menara sementara menerusi sistem Emergency Restoration System (ERS) dimulakan.
Usaha pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas terus dipergiatkan dengan keselamatan anggota kerja serta orang awam kekal menjadi keutamaan.
Dalam hantaran sama, Sabah Electricity turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah, dan memahami cabaran yang terpaksa ditanggung sepanjang proses pemulihan berlangsung.-DRP
