Editorial
SANDAKAN: Sebuah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Sungai Batang, Batu 10, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.09 petang itu, rumah berukuran 40 x 25 kaki berkenaan dilaporkan hangus 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan seramai 14 anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati rumah berkenaan sudah terbakar sepenuhnya sebelum operasi pemadaman segera dijalankan.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.55 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.58 malam selepas memastikan tiada lagi punca api atau bahaya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk laluan sempit yang menyebabkan jentera tangki air tidak dapat memasuki kawasan kebakaran.
Selain itu, gangguan bekalan elektrik di Sandakan turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas berikutan lampu isyarat tidak berfungsi.
“Pasukan bomba juga tidak dapat berkongsi gambar kejadian berikutan semua aplikasi komunikasi tidak mempunyai capaian internet,” katanya.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.
-DRP
