Editorial
PENAMPANG: Hubungan baik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dan pengamal media terus diperkukuh menerusi perlawanan bola sepak persahabatan bersama Persatuan Wartawan Sabah (SJA).
Perlawanan yang berlangsung di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin itu menyaksikan pasukan IPD Penampang menewaskan SJA dengan keputusan 3-1.
Meskipun berakhir dengan kemenangan pasukan IPD Penampang, aksi berkenaan lebih menekankan semangat kesukanan, persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua organisasi.
Selain menjadi aktiviti riadah, perlawanan itu turut menyediakan ruang kepada anggota polis dan pengamal media untuk berinteraksi dalam suasana santai, sekali gus mengukuhkan hubungan profesional di luar urusan rasmi.
Kerjasama erat antara pihak polis dan media amat penting dalam memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat, khususnya berkaitan keselamatan, ketenteraman awam dan perkembangan semasa, dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.
Penganjuran perlawanan persahabatan seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh hubungan antara IPD Penampang dan SJA, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan.- DRP
