Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM: Pengorbanan seorang ibu yang sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer di bawah panas terik semata-mata untuk menghantar meja belajar kepada anaknya menjadi antara kenangan paling bermakna buat graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Evlyana Cosmas.
Pengorbanan itu menjadi pembakar semangat Evlyana, 24, untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan sehingga berjaya meraih Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (PENC) kategori Bukan Bumiputera bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian.
Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Kampung Sinarut Lama, Ranau, Sabah itu berkata, ibunya, Maria Bulu Masan, 58, seorang suri rumah yang turut mengambil upah membersihkan rumah dengan bayaran RM50 sehari, tidak pernah menjadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak.
Bapanya, Cosmas Dosi Samon Jumat, 51, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, kini tidak lagi mampu bekerja berikutan masalah kesihatan.
Menurut Evlyana, selain pengorbanan menghantar meja belajar, usaha ibunya menyediakan sebuah komputer riba baharu bernilai hampir RM3,000 ketika beliau melanjutkan pengajian di Tingkatan Enam turut menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Katanya, ketika itu beliau pernah bertanya kepada ibunya sama ada mempunyai wang untuk membeli komputer riba berkenaan bagi menyiapkan tugasan kerja kursus.
“Pernah saya bertanya sama ada mama mempunyai wang untuk membeli komputer riba kerana saya memerlukannya bagi menyiapkan kerja kursus. Mama jawab, ‘ada, apa pun untuk kamu punya pelajaran, ada’.
“Tidak sampai seminggu, komputer riba baharu sampai di rumah. Duit hasil kerja mama tidak pernah digunakan untuk dirinya sendiri, sebaliknya semuanya untuk membiayai persekolahan kami,” katanya ketika ditemui sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.
Berkat usaha dan pengorbanan keluarga, Evlyana berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82 di UPSI, selepas memperoleh keputusan empat A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains Tulen dan PNGK 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Bagaimanapun, perjalanan pengajiannya bukanlah mudah apabila beliau turut bekerja sambilan di sebuah kedai di Taman Universiti, Tanjong Malim, bermula semester ketiga sehingga sebelum menjalani latihan mengajar di Teluk Intan bagi menampung keperluan kewangan.
Beliau berkata, rutin hariannya cukup padat apabila menghadiri kuliah dari jam 8 pagi hingga 2 petang, sebelum bekerja dari jam 3 petang hingga 8 malam.
Malah, selepas tamat bekerja, beliau masih perlu menghadiri mesyuarat persatuan dan meneruskan aktiviti sukan sehingga lewat malam.
Lebih menyentuh perasaan, sepanjang empat tahun pengajian di UPSI, Evlyana tidak pernah pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan Krismas bersama keluarga kerana memilih untuk terus bekerja dan mengumpul wang bagi menampung keperluan semester berikutnya.
“Pasti ada pelangi selepas badai. Itu ayat yang selalu saya gunakan untuk memujuk diri sendiri setiap kali berdepan kesukaran.
“Perjalanan ini sangat memenatkan, tetapi saya tahu tiada pilihan lain selain perlu menghabiskan pengajian,” katanya.
Selepas bergraduasi, Evlyana kini bekerja sambilan di sebuah kilang Proton bagi mengumpul wang sebagai persediaan sebelum ditempatkan mengajar.
Beliau turut menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana sekiranya mempunyai kemampuan kewangan.
Kisah Evlyana membuktikan bahawa di sebalik kejayaan seorang anak, sering tersembunyi pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai, sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk terus mengejar pendidikan walaupun berdepan pelbagai kekangan hidup.
-DRP-
