Oleh: Salam Undong
TAWAU: Masjid perlu terus diimarahkan setiap hari sebagai pusat ibadah, menuntut ilmu dan mengeratkan ukhuwah, bukan hanya pada hari Jumaat atau sepanjang Ramadan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, budaya mengimarahkan masjid secara berterusan perlu dipupuk dalam masyarakat, khususnya dengan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam aktiviti keagamaan dan majlis ilmu.
Menurutnya, program Subuh Macam Jumat membawa mesej penting dalam menghidupkan suasana masjid menerusi usaha mengajak masyarakat mengamalkan solat Subuh secara berjemaah sebagaimana kehadiran mereka ke masjid pada hari Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Subuh Macam Jumat anjuran Kelab Sukan KMI Tawau Medical Center dengan kerjasama pengurusan Masjid Bandar Tawau yang berlangsung seawal jam 4 pagi tadi.
Nizam berkata, beliau tertarik dengan konsep program berkenaan yang berjaya menghimpunkan masyarakat pada awal pagi, khususnya pada hari cuti, bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Katanya, amalan mengimarahkan masjid tidak seharusnya bergantung kepada penganjuran program khas, jamuan atau aktiviti sampingan semata-mata.
“Kalau setiap hari Jumaat kita mampu memenuhi masjid, mengapa tidak kita membawa semangat ini untuk sama-sama menunaikan solat Subuh berjemaah?
“Mudah-mudahan selepas program ini, kita akan menjadi masyarakat yang sentiasa mengimarahkan masjid, walaupun tiada program khas, jamuan atau cabutan bertuah,” katanya.
Beliau turut menggariskan tiga elemen utama yang menjadi teras program berkenaan iaitu ibadah, ilmu dan ukhuwah dalam membentuk komuniti yang harmoni serta sejahtera.
Menurutnya, ibadah mendekatkan manusia kepada Allah SWT, ilmu membantu memperbaiki diri dan meningkatkan kefahaman, manakala ukhuwah pula mengukuhkan hubungan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Nizam memuji inisiatif KMI Tawau Medical Center yang bukan sahaja berperanan sebagai hospital mesra ibadah dan patuh syariah, malah turut aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui program keagamaan dan kemasyarakatan.
Beliau berharap lebih banyak organisasi, agensi serta syarikat swasta tampil melaksanakan inisiatif seumpama itu bagi memperluas aktiviti keagamaan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Katanya, pembangunan Tawau perlu diseimbangkan dengan pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak mulia serta mempunyai semangat saling mengambil berat antara satu sama lain.
Mengakhiri ucapannya, Nizam merakamkan penghargaan kepada KMI Tawau Medical Center, pengurusan Masjid Bandar Tawau, rakan strategik serta seluruh urus setia yang menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha memelihara dan mengembangkan syiar Islam, selain menggalakkan generasi muda memahami tanggungjawab mereka dalam menjaga kemuliaan agama.- DRP
