Editorial
KUALA LUMPUR: Projek pertama penerbit Mohan Chinnasamy ketika mula bertugas di Unit Majalah dan Dokumentari (UMD), Radio Televisyen Malaysia (RTM), mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih anugerah emas pada Malaysia Public Relations Awards (MPRA), malam tadi.
Mohan berkata, pengiktirafan menerusi episod Panorama: WCE – Merentasi Pantai Barat itu merupakan satu kejutan yang cukup menggembirakan, memandangkan ia adalah antara karya terawal dihasilkannya sejak menyertai UMD.
Menurutnya, kejayaan itu cukup bermakna kerana episod berkenaan merupakan projek pertama yang diterbitkannya menerusi program Panorama ketika mula-mula bertugas di unit berkenaan.
“Sudah semestinya saya berasa amat gembira kerana ini merupakan projek pertama saya iaitu Panorama yang bersiaran merentasi Pantai Barat.
“Itu merupakan episod Panorama pertama saya ketika mula-mula bertugas di UMD dan tidak sangka episod itu pula menang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis anugerah berkenaan.
Beliau berkata, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti serta memburu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Mohan menegaskan kejayaan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap dirinya, sebaliknya turut mengangkat nama UMD dan RTM sebagai organisasi penyiaran negara.
“Anugerah ini bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk UMD dan juga RTM kerana segala anugerah yang saya dan RTM terima ini adalah untuk nama RTM,” katanya.
Episod berkenaan mengetengahkan aspek tanggungjawab sosial syarikat konsesi West Coast Expressway (WCE) dalam pembangunan lebuh raya di sepanjang Pantai Barat.
Dalam perkembangan sama, RTM turut mencatat kejayaan membanggakan apabila membawa pulang tiga pengiktirafan pada MPRA, membabitkan dua anugerah emas dan satu perak dalam kategori Penyiaran dan Media Sosial.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail.
MPRA atau Anugerah Perhubungan Awam Malaysia merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Perhubungan dan Komunikasi Awam Malaysia (PRCA Malaysia) bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang komunikasi strategik, perhubungan awam dan media.- DRP
