BAU: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam parit dalam kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo, Kampung Jugan, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Eblone Jyubalta Kenedy, ditemukan terperangkap di dalam Perodua Bezza bernombor pendaftaran QAB 6998A selepas kemalangan kendiri yang berlaku kira-kira jam 7.51 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Bau sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat diketuai PBK I Francis Kotter Nyuin dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah jentera bomba dan kenderaan EMRS.
Turut membantu operasi ialah dua anggota polis serta tiga petugas KKM dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi.-DRP
